top of page

DARI MEJA KAK IDA

Untitled-27.jpg

     Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi, ini adalah tahun ke-17 PUTERI UMNO MALAYSIA menjadi sayap yang membantu membangkitkan semangat wanita muda di dalam UMNO. Untuk kesekian kalinya, kita berhimpun dan bersepakat utuh dalam menjayakan persidangan keramat ini. Kali ini, ini bukan persidangan biasa kerana kita berhimpun sebagai PUTERI PEMBANGKANG.

 

Pertama sekali, saya selaku Ketua Puteri UMNO Malaysia, ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua para perwakilan Puteri yang hadir pada hari ini. Kerana pertemuan kita pada hari ini merupakan satu pertemuan yang amat berbeza dari tahun-tahun yang sebelumnya. Inilah pertama kali kita berkumpul bukan sebagai parti yang berkuasa dan parti yang memerintah. Kekalahan Barisan Nasional dan UMNO pada pilihanraya ke-14 baru-baru ini membuka lebaran baru dalam sejarah perjuangan UMNO. Ia merupakan satu pengalaman yang mengajarkan kita nilai kerendahan diri dan mendidik diri kita untuk mengakui bahawa kuasa yang ada bukan kekal selama-lamanya. Ia merupakan satu pinjaman dari Allah S.W.T yang direalisasikan dalam bentuk sokongan rakyat kepada kita untuk kita menunaikan tangungjawab dan amanah yang diberikan. Tidak mustahil, kuasa yang kita hilang ini akan dapat balik. Walau apa pun, sekiranya kita ditakdirkan dapat kembali kuasa ini, kita menerimanya dengan penuh rendah diri, rasa tanggungjawab dan keinsafan.

​

PUTERI perlu terus giat dalam mendekati rakyat sehingga ke akar umbi melalui pelbagai inisiatif dan platform agar terus mendapat sokongan dan mandat daripada rakyat. Tanpa rakyat siapalah kita dan kerana mereka kita masih ada.

​

Diharapkan perhimpunan penting kali ini juga dapat menterjemahkan legasi PUTERI untuk fasa seterusnya dalam perjuangan PUTERI UMNO Malaysia sebagai PUTERI PEMBANGKANG agar wanita muda Malaysia akan terus dapat diperkasakan, ditingkatkan jati dirinya dan diperluaskan empayar kehebatannya.

 

Akhir kalam, setinggi penghargaan dan terima kasih saya rakamkan kepada seluruh jentera kepimpinan dan perwakilan kerana bersama-sama berkumpul untuk menunaikan kewajipan pada tahun yang mencabar ini.  Kehadiran kita semua pastinya dengan semangat dan komitmen yang jitu kepada perjuangan parti.

 

Puteri UMNO hari ini membenarkan kepelbagaian aliran. Puteri yang baru ini menginstitusikan kepelbagaian pemikiran. Kita terbuka untuk menerima semua pihak untuk bersama dengan kita. Supaya kita boleh melahirkan pemimpin yang lebih inklusif dan pelbagai yang mampu mendekati semua lapisan wanita muda.

Mari kita BANGKIT bersama dan berjuang demi parti keramat UMNO. Puteri akan terus relevan dalam memartabatkan perjuangan agama, bangsa dan negara. Rapatkan saf, pimpinlah tangan sahabat perjuangan mu, kitab teruskan perjuangan yang masih belum selesai ini…

 

Salam Kebangkitan,

​

​

bottom of page